Konvokesyen dan Hujan

31 Oktober 2010 – Sintok, Kedah

11 tahun yang lepas pada hari ini saya di UUM Sintok untuk graduasi sarjana. Graduasi dalam suasana malap, tiada gambar yang di ambil kerana hujan yang pada awalnya rintik-rintik semakin lebat. Hanya bergantung sepenuhnya kepada jurugambar rasmi majlis.

Apa yang lebih di ingati adalah perjalanan pulang. Sejurus tamat konvokesyen sudah ada kawan yang memilih untuk terus pulang. Saya memilih untuk bertolak sedikit lewat. Sudah banyak jalan yang dinaiki air. Menggunakan garmin kami mencari jalan alternatif yang belum dinaiki air untuk ke lebuhraya.

Alhamdulillah kami berjaya mencari jalan yang selamat. Masih saya ingat kerana kami terpaksa melalui kawasan sawah padi untuk memintas kawasan yang tenggelam. Kami berjaya sampai ke lebuhraya utama walaupun menghadapi sedikit kesukaran. Hujan di sepanjang jalan sangat mendebarkan lebih-lebih lagi bila merentasi banjaran Titiwangsa. Alhamdulillah, kami sampai ke rumah dengan selamat walaupun berdebar sepanjang perjalanan.

Keratan akhbar pada keesokan hari menunjukkan bahawa lebuhraya yang kami lalui juga telah ditenggelami air. Sidang konvokesyen kami juga menjadi sidang terakhir. Kerana sidang seterusnya telah ditunda akibat dari banjir.